Hidup tak selamanya indah. Kadang-kala kita selalu mengeluh bila sesuatu perkara itu sentiasa saja tidak memuaskan hati kita. Tapi bila hari semakin berlalu, baru kita sedar bahawa masa lalu sangat berharga. Kita sentiasa teringat-ingat pada benda yang sudah lepas. Selalu terfikir-fikir alangkah indahnya dunia kalau kita boleh putarkan masa. Tapi itu semua hanya mimpi. Setiap apa yang berlaku tidak boleh diputarkan semula. Kita hanya mampu untuk meneruskan langkah ataupun memperbaiki cara hidup kita yang dulu.
Kata orang, bintang yang paling bersinar dan bercahaya, itulah bintang kejora. Tapi, pada mata kita semua bintang itu bersinar dan bercahya. Kita sentiasa pening untuk mencari di mana bintang yang bernama kejora itu. Selepas beberapa saat mencari, akhirnya baru kita terpandang sebutir bintang bercahaya cerah berwarna putih kekuningan berhampiran dengan bulan. Kenapa kita tidak nampak pada bintang itu sejak awal lagi? Tanpa sedar bintang itu hanya berada di depan mata.
Waktu kecil, kita selalu terbayang-bayangkan kehidupan kita apabila dewasa kelak. Kita selalu beranggapan bahawa usia dewasa sentiasa menjanjikan kebahagiaan. Tiada lagi kerja sekolah yang bertimbun-timbun. Tiada lagi ujian dan peperiksaan. Tiada lagi jerit pekik ibu dan ayah kerana kita sudah mampu memiliki rumah sendiri.
Namun, apabila usia semakin meningkat, baru kita tersedar bahawa semua ini hanya dusta. Semakin kita meningkat dewasa, semakin banyak masalah yang harus kita fikirkan. Semakin banyak tanggungjawab yang harus kita pikul. Semakin besar perasaan bersalah yang akan kita rasa terhadap ibu dan ayah. Masa inilah, kita akan sentiasa terfikir, "Alangkah gembiranya waktu kecil dulu. Tidak perlu hendak fikirkan masalah yang remeh-temeh. Kita hanya tahu bermain-main saja."
p/s: Hargailah setiap apa yang kita lalui dan setiap orang yang berada di sekeliling kita. Kita hanya akan menghargainya apabila benda itu hilang dari pandangan mata.
No comments:
Post a Comment